Lepaskan Matahari : Bahagian 5

Date September 7, 2008

Perlahan dia membuka kad berwarna ungu itu. Tiada emosi, hanya melihat dan meneliti tiap baris yang terkandung di dalam kad bisu itu. Belum sempat sampai ke noktah akhir, laju air matanya mengalir. Dia masih mampu mengawal sendunya. Siapakah aku untuk menjadi bunga yang dipuja dan layakkah aku menerima semua ini. Dan noktah di baris ayat terakhir begitu menyentuh tembok hatinya yang keras itu.

“Ika, mungkin Fiq sekadar teman. Namun, biar teman ini yang menjadi tempatmu bergantung. Bukanlah sesuatu yang tidak bagus jika kita bergantung dengan orang lain. Keluarkan apa yang tersimpan agar Fiq tahu apa yang ada dihatimu.” – Fikri, April 1998.

Fikiran Ika bercelaru. Hatinya berperang sendiri. Tangisan yang penuh persoalan, hati yang hampir berjaya di sentuh oleh Fikri. Dan tangisan itu padam sendiri bersama malam. Mungkin esok yang akan menjelma menjanjikan sesuatu buat dua insan ini.

[Hari Sukan Sekolah]

Padang sekolah menjadi lokasi tumpuan. Penuh warna-warni, hijau, kuning, merah dan biru menghiasi kawasan padang itu. Kemeriahan begitu terasa dan hari ini bakal menentukan rumah sukan mana yang bakal menjuarai sukan sekolah tahun ini. Dihujung padang pelbagai gerai-gerai kecil dibuka bagi menambahkan lagi kemeriahan sambutan hari sukan sekolah.

Hari itu juga Zulaika nekad, ingin memecahkan semua kebuntuan dan penantian Fikri. Dan di khemah rumah Kenari, Zulaika yang diarahkan mengagihkan nombor atlit pasukannya menggunakan peluang itu. Dan Fikri antara yang terakhir. Dia harus kuat berdepan dengan insan sebaik Fikri. Dan akhirnya, terluah jua.

“Fiq, ni nombor awak. Petang baru mula games.” Teragak-agak Ika memulakan bicaranya.
“Urm, terima kasih.”
“Ohya, nanti games petang ni buat elok-elok tau…” dan pantas Ika menghulurkan sekeping nota untuk Fikri dengan sebuah senyuman penuh makna yang tidak mampu ditafsirkan sang jejaka.
Fikri hanya mengangguk. Senyuman itu juga memberi harapan dan semangat untuknya. Namun di hati Fikri, dia redha dengan apa jua ketentuanNya.

Rumah kenari menjuari hari sukan tahun ini menewaskan saingan terdekatnya rumah merak. Fikri pula menggondol dua emas buat rumah kenari. Dan majlis penganugerahan pingat kepada peserta tamat menjelang petang. Sudah ramai yang bersurai. Di setiap gerai yang masih dibuka, tentu sahaja bercerita perkara yang sama iaitu rentetan peristiwa sepanjang sambutan hari sukan berlangsung.

Iman seperti terbaca sesuatu dari raut wajah temannya itu. Seolah-olah dia ingin mencari seseorang. Dan Iman juga tahu siapa yang dicari itu. Pastinya seseorang yang hampir berjaya mencuri hati teman baiknya itu.

“Ika, cari Fikri ke?” Iman mengusik.
“Eh, mana ada… pandai ja…”
“Dah tu apa yang dari tadi aku tengok kau macam tertunggu-tunggu seseorang?” suka benar Iman bermain teka-teka dengan temannya.
“Seronokla tu nak serkap jarang aku…” kali ini Ika pun mula berseloroh dengan temannya.

“Amboi, cik adik dua orang ni, kalau bersembang orang lain pun dah tak sedar yer…” terkejut dua gadis itu bila di tegur begitu.
“Isk, awak ni Yusuf. Kalau ya pun nak menyampuk, bagila salam dulu! Terkejut kami, kan Ika kan??”
Ika sekadar mengangguk tersenyum melihat keletah temannya.
“Yerlah… jangan la garang sangat cik Iman oiii…”

Sepi. Tanpa suara. Dia hanya membiarkan pandangannya menghantar Fikri. Begitu juga Fikri. Tiada suara, hanya senyum dalam debar. Dan dia benar-benar ingin mengetahui apa yang terkandung di dalam nota tadi. Dia sendiri tidak pasti kini. Sukar benar aku meneka hatimu Zulaika. Angin petangpun berhembus tanpa meninggalkan jejak. Mungkin esok bermula harapan baru atau sebaliknya….

“Fikri sahabatku, Mungkin Fiq sendiri sudah letih menanti. Ika senang mengenali Fiq. Walau kita belum mengenali hati budi masing-masing, namun Ika boleh merasakan keikhlasan Fiq, bukan hanya dengan Ika tetapi juga dengan orang lain. Terima kasih kerana sudi mengambil berat tetang Ika. Maafkan Ika jika….”

Bersambung…

 

Lepaskan Matahari : Bahagian 4

Date July 27, 2008

Keindahan bukan lagi satu kesempurnaan buat dirinya. Hati yang makin pudar. Resah yang makin menjauh. Tika dan saat itu, perjuangan harus terus dan hanya satu cara yang dia rasakan bisa menghapuskan semua rasa, hanya melepaskan cinta. Membuang cinta jauh dari hatinya. Persis seorang pelayar yang tidak sanggup belayar dan menempah arus lautan lagi. Melepaskan semuanya pergi lebih baik untuk dirinya. Dia sedang menghapuskan dendam dihati dengan melukakan diri sendiri…

Bercuti di rumah Ruby, membuatkan hati Zulaikha sedikit terhibur. Seronok benar dia menghabiskan setiap saat bersama keluarga Ruby. Masa berlalu dan kembara di alam persekolahan bermula semula. Rutin harian yang mereka lalui sama sahaja. Jika tidak ke perpustakaan pasti di dewan makan asrama tempat mereka belajar usai waktu sekolah.

“Ika, amacam pergi rumah Kak Bi, best??” Iman menyoal bersungguh.
“Seronok sangat, rumah kak Bi banyak pokok bunga cantik… Haa… kau tahu tak siapa aku jumpa kat rumah Kak Bi?”  Zulaikha memulakan ceritanya.
“Hah… Siapa?” makin bersungguh Iman mahu mendengar cerita temannya.
“Aku jumpa Fikri. Rupanya rumah Fikri dekat jer dengan rumah Kak Bi. Dan lagi best kau tahu, Si Fiq tu datang masa malam kenduri rumah Kak Bi…” Zulaikha terimbas kembali kisah malam kenduri di rumah Ruby.
“Yerka… Diaorangkan sepupu, tapi tak tau pulak rumah dekat-dekat. Dah tu kau tegur dia tak?” tersenyum Iman kali ini.
“Tegur macam tu jer la…” ringkas Ika menjawab.
“Kalau aku cakap kau jangan marah yer, aku rasala kan Fiq tu suka kat kau la… Sebabnya kan… banyak la benda yang aku rasa dia suka kat kau… hehehe…” Iman cuba meyakinkan Ika.
“Ish kau ni, kalau yer pun nak merepek, agak-agak la. Gila ke apa si Fikri tu suka kat aku… Dah la, jom bersiap, petang ni ada latihan sukan kan?” Ika bingkas bangun menarik Iman bersiap untuk latihan sukan.

Jauh di sudut hatinya, dia seperti mahu mengiakan tekaan Iman. Namun hatinya terus-menerus cuba memadamkan perasaan itu. Dia tidak mahu lagi menerima sesiapa. Tidak mahu lagi di kecewakan. Fikri… Tidak mungkin sama sekali menyintai aku. Tidak mungkin…

Lewat jam 6 petang. Latihan sukan rumah Merak dan Kenari berlangsung seperti biasa. Ika hanya mengambil bahagian dalam Lempar Cakera. Seperti tahun-tahun sebelumnya. Latihan di jalani seperti biasa dan berakhir apabila siren panjang dibunyikan tanda tamat latihan. Sebelum beransur, semua wakil rumah sukan berkumpul untuk mendengar taklimat ringkas. Guru-guru banyak memberi suntikan semangat memandangkan hanya dua minggu sahaja lagi akan berlangsungnya Hari Sukan Sekolah.

Ika tercari-cari temannya. Di hujung padang, kelihatan kumpulan rumah merak belum selesai taklimat. Dia menanti Iman di tempat biasa. Dan hatinya berdebar apabila seseorang melewatinya. Semakin dekat semakin laju degup jantungnya.

“Assalamualaikum…” suara itu memulakan bicara.
“Wa’alaikummussalam… eh Fiq…” Ika membalas dengan senyuman.
“Tunggu Iman yer. Erm… Hari ni saya tengok awak nampak macam dah ok…” teragak-agak dia memulakan bicara.
“Apa yang ok? Saya memang macam ni sajala…” Ika menjawab ringkas. Tidak mahu Fikri terus meneka.
“Takla, sebelum ni nampak awak macam tak berapa sihat…” Fikri hanya tersenyum.
“Owh, takdala. Saya memang macam ni…” Ika sekali lagi cuba menyembunyikan kenyataan.
“Erm… Baguslah macam tu. Kalau awak sihat, semua orang akan gembira… sama seperti…” Fikri tidak dapat meneruskan kata-katanya apabila ada satu suara menegur mereka dari jauh.
“Amboi, rancak bersembang…” usik Iman.
“Eh Iman, mana la saya nak sedar. Dah habis latihan ke?  Okela, saya beransur dulu la. Si Yusuf pun mesti dah habis latihan tu… Ohya Ika tolong simpan buku kedatangan rumah sukan kita yer, minggu depan tolong bawa. Saya harap awak tolong semak kedatangan untuk hari ni… ” Fikri meminta diri. Sebenarnya masih ada sesuatu yang masih tersimpan dan terbuku di dalam hatinya.
“Ler, awak ni Fikri, borak la dulu…” Iman cuba memancing Fikri untuk tidak beredar.
“Takpala, lain kali kita borak lagi yer. Okela, jaga diri Ika…. Iman…” Hatinya memang seperti tidak mahu melangkah pergi.
“Ok…” Hanya senyuman yang menghantar Fikri pergi…

Banyak perkara yang bermain-main di minda Zulaikha… “Sama seperti apa…” Dia juga ingin mengetahui apa yang ingin Fikri katakan. Walaupun hatinya ingin melupakan, tapi kebaikan Fikri dan mata Fikri membuatkan hatinya sedikit tersentuh… Dan Ika terus membiarkan bicara sepi yang bermonolog di dalam diri pergi. Pergi seperti rama-rama yang hanya singgah di kelopak dan terbang pergi ke angkasa dengan bebasnya.

Rekod kehadiran ahli rumah sukan disemak semula. Belum sempat Ika meneruskan ke muka seterusnya. Terpandang satu kad kecil terselit, tertulis namanya di sampul kecil berwarna ungu. Perlahan Ika mengambil dan membuka kad kecil itu….

Bersambung…

Di kesempatan…

Date July 24, 2008

Kepada yang sudi mengunjungi “Lepaskan Matahari”… InsyaAllah part 4 masih dalam proses penyiapan. Kekangan tugasan harian menyekat sedikit sebanyak masa fiza untuk menulis. Harap bersabar dan setia menunggu… InsyaAllah… Part 4 fiza akan siapkan secepatnya…

P/s: Tidak mahu terlalu terburu2 menyiapkan dalam ms yang singkat. Risau jika bait2 puisi dan tulisan-tulisan dalam part 4 kurang maju dari bahagian-bahagian sebelumnya…

Lepaskan Matahari : Bahagian 3

Date July 7, 2008

Kenapa perlu begini? Bukankah cinta itu satu pengorbanan? Bukahkah cinta itu penghormatan? Aku mahu jujur dengan persahabatan. Kenapa aku harus ada perasaan sebegini? Hati Fikri berdialog sendiri. Dia sangsi dan takut dengan perasaan sendiri. Semakin dia ingin melupakan semakin dekat perasaan itu mencengkam. Inikah cinta? Atau aku sekadar sangsi antara persahabatan dan percintaan. Kenapa harus aku rindui dia? Dan saat itu, hati seorang lelaki berserah jiwa dan harapan kepada Pencipta, yang bisa merungkaikan segala kesangsian. Saat dia bersujud, hati penuh kusyuk mengharapkan satu jawapan. Hanya satu jawapan… Yang bisa mendamaikan hati dan keinginan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

Petang yang indah dan mendamaikan, hembusan angin lembut menyapa ke pipi. Waktu sebegini, adalah waktu terbaik untuk pelajar-pelajar merehatkan minda. Menikmati angin petang dan waktu sebegini jugalah masa untuk bergurau dengan teman-teman dan berkongsi seribu satu cerita.

“Iman… terima kasih…” lembut bicara Zulaikha.
“Eh… kenapa pulak nak ucap terima kasih ni? Emm… Apapun, sama-sama kasih” Sempat lagi Iman berjenaka dengan sahabatnya. Walaupun jauh di sudut hatinya seakan-akan mengerti maksud temannya itu. Hanya senyuman Zulaikha yang terukir saat itu.
“Ika, minggu depan dah boleh balik kampung, tak sabar rasanyakan?” Iman begitu girang jika tiba waktu pulang ke kampung.
“A’a la… tapi… minggu ni tak balik kampung kot, sebab nak ikut Kak Bi balik kampung dia. Dah lama dia ajak, aku asyik menolak jer, kali ni tak tau nak bagi alasan apa lagi, lagipun ada kenduri sikit katanya… Lagipun family aku pergi  rombongan minggu ni…” balas Ika. Sebenarnya sudah lama Ruby mengajak Zulaikha untuk berkunjung ke rumahnya. Namun ada saja hal yang tidak dapat dielakkan. Dan kali ini, Ika menurut sahaja. Memandangkan keluarganya juga tiada di kampung kerana mengikuti rombongan ke Kelantan pada hujung minggu ini.
“Owh… bagusla, kalau balik rumah pun bukan ada orang, adik beradik kau semua kat asrama jugak kan?” Iman menyokong keputusan Ika untuk pulang ke kampung Ruby.
“Itu la, takpala… Lagipun, seronok juga kalau sekali-sekali jalan-jalan ke tempat orang” kali ini Ika benar-benar pasti dengan keputusannya.
“Eh dah jam berapa ni? Jomla kita bersiap, kejap lagi dah nak makan malam…” Iman bingkas bangun dan menarik tangan Zulaikha.
“Yelah yelah… Kau ni kalau bab makan, pantas. Tapi kurus jugak aku tengok. Hehehe…” dan dua sahabat itu berjalan ke dorm masing-masing untuk bersiap ke dewan makan.

Seperti yang dijanjikan. Minggu ini, Zulaikha pulang ke kampung Ruby. Teruja benar dia, melihat banyak bunga-bungaan di keliling rumah seniornya itu. Itulah Zulaikha, hatinya selembut dan seputih awan. Apabila melihat sesuatu yang cantik, hatinya pasti ceria dan tidak putus-putus memuji ciptaan Tuhan yang maha indah itu.

“Kak Bi, semua bunga tu Kak Bi tanam ke?” soal Ika…
“Eh, takdala, mak akak yang tanam semua tu. Harapkan akak, tanam ja asyik mati jer… Tangan cap apa pun akak tak tau… hehehe… ”  tergelak Ika mendengar Ruby berseloroh.
“Akak ni, buat lawak pulak… Tangan cap ayam kot…” berderai tawa mereka.

Terubat hati Ika saat menghabiskan waktu bersama keluarga Ruby. Masa terluang di isi sebaiknya. Dari membersihkan taman bunga, pergi ke pasar dan memasak, semua perkara itu membuatkan Ika terlupa sebentar kisah duka. Dia senang dengan layanan keluarga Ruby. Dan masa berputar bagaikan mencemburui Ika. Dirasakan saat-saat yang dilalui begitu pantas berlalu. Malamnya ada kenduri doa selamat di rumah Ruby, Ika sebaiknya membawa diri di tempat orang. Sebolehnya Ika ingin membantu memandangkan Ruby tiada adik beradik lain untuk melayan tetamu. Dan saat itu juga ada satu mata yang sedari tadi seperti mengekornya. Hati Ika berdegup kencang. Dia menyumpah di dalam hati tanda rasa tidak senang.

Majlis berjalan dengan lancar. Dan malam pun merangkak tua. Hanya tinggal beberapa orang lagi yang masih berbual di luar rumah. Di dapur, hanya tinggal Ika dan Ruby sahaja. Rancak benar mereka berbual, memandangkan tiada siapa lagi di situ. Dan tanpa sedar ada sesusuk tubuh yang dari tadi melihat dua gadis ini bercerita…

“Ateh, boleh buatkan air kopi tak? Mak Long suruh buat…” tersentak mereka berdua di sapa seseorang dari pintu dapur. Ika seperti mengenali suara itu. Saat mata terarah ke pintu, dia begitu pasti.
“Fikri??….” hanya itu sahaja yang terkeluar dari bibirnya. Mata mereka bersatu. Pantas Ika mengalihkan pandangannya. Jadi Fikrilah orang yang sedari tadi memandangnya saat dia membantu Makcik Asiah melayan tetamu. Fikri hanya tersenyum. Senyuman yang tersimpan seribu makna yang sukar ditafsirkan.

Cantik sungguh bidadariku. Aku pastikan berjuang merebut cintamu. Kerana Dia juga memberi isyarat kepadaku. Bahwa hanya dikau saja satu-satunya yang telah berjaya merampas hati dan damaiku. Aku yakin dikau sememangnya dijadikan untukku. Kini aku pasti dan takkan berpaling sedikitpun. Aku akan mengejar dan meyakinkan kasihku padamu. Kerna hati ini milikmu. Walau ada sedikit ragu, hati lelakinya pasti akan terus dan terus melamar hati gadis yang dicintainya. Walaupun dia sedar, masih terlalu jauh untuk menyentuh cinta sang puteri. Masih terlalu samar… Yang ada hanya satu harapan…

Bersambung…

Lepaskan Matahari : Bahagian 2

Date July 3, 2008

Andai hatimu terdetik mencintainya dan lisanmu tidak mampu berbicara, hanya pandangan penuh harapan yang mampu melepaskan hatimu terhadap dia. Dia yang penuh santun di matamu, dia yang sempurna dan dia yang telah berjaya mencuri hatimu… Siksanya raga tidak mampu meluahkan apa yang tersimpan di dada rasa. Namun hati yang tulus mencintainya akan terus dan terus mendoakan dia. Dia yang pertama…

“Yusuf, awak dah dapat senarai wakil rumah kita? Tadi Cikgu Nani cakap dia dah bagi dekat awak…” Iman minta kepastian.
“A’a… Nanti saya dah kemaskan senarai tu, saya bagi dekat awak yer… Ohya, minggu depan, rumah merak, akan mula latihan olahraga. Hope Iman boleh tolong cari wakil perempuan rumah kita..” Pinta Yusuf selaku ketua pasukan rumah merak. Dan perbincangan mereka selesai pada petang yang meninggalkan penuh tanda tanya di hati seorang Iman.

Sesi latihan rumah kenari pula seperti biasa. Guru-guru yang terlibat mengharapkan kemenangan rumah kenari berulang seperti tahun lalu. Dan pastinya saingan terdekat mereka adalah rumah merak. Sebagai atlit harapan olahraga pasukan, Fikri merasakan tanggungjawab yang di amanahkan harus dilaksanakan sebaiknya. Itulah Fikri, walaupun sibuk menjalani latihan sebagai wakil daerah untuk pasukan bola sepak, dia tetap merasakan tanggungjawab dalam sukan sekolah juga perlu diutamakan. Semangat kesukanan yang ada dalam dirinya itulah yang membuatkan ramai pelajar begitu menyukai untuk mendekatinya. Walaubagaimanapun, tidak sedikitpun terpalit sifat bangga atau sombong dalam dirinya.

Di satu sudut padang yang luas, ada senyum dibibir seorang gadis. Senyuman yang berjaya menyembunyikan resah dan dendam dihati sang gadis.
“Iman, dah habis ke latihan hari ni? Jom kita balik asrama. Rumah aku pun dah habis latihan dah kejap tadi. Aku rasa pening kepala la.” Ika mengadu kepalanya pening sejak tadi.
“Laa… dah tak sihat kenapa datang juga? Isk kau ni… Okela, jom kita balik” Iman berpimpinan tangan dengan sahabat kesayangannya itu. Risau benar hatinya atas kedegilan sahabatnya yang satu itu.

Rutin harian mereka sebagai pelajar asrama dijalankan seperti biasa. Hujung minggu, jika tidak pulang ke rumah masing-masing, mereka akan keluar ke bandar. Jika tidak, di asrama la tempat mereka berehat di hujung minggu… Minggu ini, Ika dan Iman hanya memilih untuk berehat di asrama sahaja. Iman masih lagi dibelenggu persoalan kejadian petang itu. Hatinya dihimpit pelbagai andaian yang tak bisa dirungkaikan. Hatinya seolah-olah meneka sesuatu. Adakah ini permainan perasaannya atau sekadar pandangan kosong yang disalah tafsirkan… Penat dia memikirkannya…

Hari Ahad, hari yang tidak disukai kebanyakan pelajar. Mana tidaknya, mereka perlu berbaris dan berdiri panjang untuk perhimpunan pagi. Tapi itulah rutin yang perlu dilalui oleh setiap pelajar. Kepalanya berat, pandangan yang tadinya cerah, kabur sedikit demi sedikit. Dan dia tidak mampu lagi untuk bertahan. Akhirnya dia jatuh dan pandangannya terus gelap.

Di satu sudut kantin sekolah, ada tiga orang gadis sedang duduk di baris kerusi. Dan disitulah ada seorang gadis yang berat memendam duka dan ada ditemani seorang sahabat yang setia.
“Ika, awak tak sarapan ke pagi tadi?” soal seorang pengawas bernama Ruby.
“Erm….” Kepala Ika yang masih berat itu, tidak membolehkan dia meneruskan bicaranya. Dan matanya yang berkaca itu akhirnya berderai jua.
“Kak Bi, tadi Iman dah sarapan kat asrama dengan Ika. Cuma Ika makan sikit sangat. Tapi Ika memang selalu ambik sarapan sikit saja” terang Iman kepada seniornya itu memandangkan Ika seperti tidak mampu untuk berbicara. Dan disudut hatinya, sedih benar memikirkan temannya yang masih berduka itu.
“Oke, adik tunggu kejap, nanti akak minta makcik kantin buatkan segelas susu yer….” Ruby memang dikenali sebagai barisan pimpinan pelajar yang prihatin dan baik hati.

Perhimpunan pagi sudah selesai dan pelajar-pelajar tertib beransur ke kelas masing-masing.
“Iman…Ika oke lagi tak? Apesal tadi dia pengsan?” Yusuf mulakan bicara pada gadis bernama Iman itu. Belum pun sempat Iman mulakan bicara. Fikri datang dengan segelas susu di tangannya. Hanya senyuman mampu terukir takkala Iman memandang wajah jejaka itu.
“Eh Fiq, Kak Bi baru nak pergi minta makcik kantin buatkan. Bagusla kalau kau dah ambil yer…” tersenyum Kak Ruby melihat adik sepupunya Fikri datang.
“Ika, awak ok ke? Minumla susu ni…” Fikri memberi gelas ditangannya dengan pandangan penuh makna pada sang gadis.
“Minumla Ika, Fiq dah ambilkan kau lagi… “ Iman tersenyum di dalam hati kerana persoalannya petang itu hampir terjawab. Hatinya girang memikirkan hampir seluruh persoalan yang bermain dibenaknya terjawab tak kala Fikri dan Yusuf datang ke kantin tika itu.
“Terima kasih la Fikri, tapi… Ika tak minum susu….” Ika tertunduk malu dilayan begitu oleh sang jejaka.
“Yeke… Takpe, minum sikit pun takpa.” Pinta Fikri mengharapkan sang gadis pulih semula.
Ika dalam keadaan itu hanya menurut saja. Sepanjang hidupnya, itulah kali pertama dia minum susu kosong tanpa dipaksa… Dan hatinya sedikit tersentuh dengan kasih sayang teman-temannya. Pada saat itu barulah timbul sedar dalam dirinya bahawa dia begitu disayangi…

Selepas kejadian itu, Zulaikha yang dulunya sarat dengan dendam dan kecewa, mulai pulih dan merawat lukanya. Tambahan pula berkat sokongan rakan-rakan yang sedikitpun tidak pernah jemu memberi hembusan semangat buat dirinya.

Malam yang hening, di saat mata belum bisa terlena, Ruby, salah seorang pelajar senior yang ditempatkan di dorm Anggerik duduk rapat di sisi seorang junior yang saat itu seperti melepaskan rasa dan melamun memikirkan suatu yang dia sendiri tidak dapat mentafsirkan.

“Ika, buat apa tu? Teringat buah hati yer?” Ruby mengusik juniornya yang dari tadi mengelamun entah ke mana.
“Eh Kak Bi, takda la, saja ja… Mana ada…” Ika sedikit tersentak namun masih mampu menghadiahkan sebuah senyuman buat seniornya itu. Ika membetulkan duduknya.
“Kalau Kak Bi tanya Ika sikit, Ika jangan marah ya…” Ruby memulakan bicaranya.
“Boleh, akak nak tanya apa?” hatinya sedikit berbisik, tertanya-tanya apakah persoalan yang bakal di terima. Namun dia membiarkan saja tanpa menunjukkan sebarang emosi.
“Takda, pasal adik akak tu. Ika kenal diakan? Ika ada apa-apa masalah ke dengan dia?” soalnya lagi mengharapkan kepastian.
“Maksud akak Fikri? Kenapa akak tanya macam tu?” Ika sendiri bingung dengan persoalan itu.
“Takda, cuma akak rasa korang berdua ni, sejak hari Ika pengsan tu, macam ada yang tak kena…” Ruby terus mencari kunci cerita yang selama ini seakan-akan hilang.
“Erm… Saya macam biasa ja dengan dia… Kenapa? Dia ada bagitau akak apa-apa ke?” kali ini Ika benar-benar kurang senang dengan persoalan itu dan kebingungan.
“Kalau macam tu tak apa la… Mungkin akak yang salah faham kot…”

Ika masih tidak mengerti  persoalan Ruby. Namun dia membiarkan malam itu berlabuh begitu saja. Antara Ruby dan Zulaikha, masih terlalu banyak teka-teki yang masih belum menunjukkan tanda untuk dirungkaikan. Namun ia persoalan hati hanya diri sendiri yang boleh menjawabnya… Malam merangkak pergi dan hati yang dulunya terluka semakin hampir ke destinasi untuk pulih semula kerna hati itu juga semakin tertutup rapat, seakan-akan payah untuk terbuka semula untuk dimiliki sesiapa… Dan ada satu hati yang mencari kekuatan untuk membuka dan mengentuh kamar hati sang puteri…

Bersambung…

Lepaskan Matahari : Bahagian 1

Date July 3, 2008

Bumi kebasahan lagi. Hujan masih belum teduh. Rintik-rintiknya membasahi dan mendinginkan malam. Zulaikha mengeluh sendiri. Mata yang dari tadi tidak bisa dipejamkan meliar ke jendela. Langit… tiada bintang, gelap. Hanya hujan yang menitis dan menghias malam. Penat di hati hanya dia sahaja yang bisa mentafsirkannya. Dan harapannya agar malam terus berlalu. Tanpa meninggalkan jejak.

“Kringg…… “ Loceng panjang menunjukkan tiba waktu makan bagi pelajar asrama Sekolah Menengah Tunku Syed Ahmed. Menandakan hidangan telah siap sedia. Menu hari ini istimewa dan sentiasa di nanti oleh putera dan puteri asrama.

“Eh.. mana Ika?…” Tanya Iman kepada Effa.
“Entah, dari tadi lepas riadah terus aku tak nampak batang hidung dia. Kat bilik lagi kot. Tapi takda pulak masa aku keluar tadi….erm…” balas Effa kebuntuan.
“Takpa Effa, kau pergi dulu, aku cari Ika, lepas tu jumpa kat dewan yer…” Iman langsung mencari Ika.

Penghinaan ini terlalu berat untuk aku terima. Berdosakah aku? Bukankah cinta dan persahabatan itu milik setiap insan? Aku tak minta pun dia mencintai aku. Jika benar dia bukan untukku, tetapi kenapa aku di hina begini. Hatinya terus berdialog sendiri. Air mata deras mengalir. Mengenangkan lelaki itu dan Didi yang sememangnya terkenal dengan sifat bongkak itu, hatinya menanar. Hati kecilnya luluh mumuk.
“Kalau dah tak cantik macam kau ni, bukan setakat Eddy, mana-mana lelaki pon tak pandang kau tau tak!” Rasa terhinanya. Kata-kata Didi masih teringiang hingga hari ini.

“Ya Allah Ika, apa kau buat kat sini? Sudahla…Jangan menangis lagi. Sia-sia saja. Kita masih muda, perkara macam tu tak penting pun” pujuk Iman.
“Tapi Didi hina aku depan kawan-kawan dia.” Aku terus menangis semahunya.
“Aku faham. Tapi kau tahu la Didi tu. Memang macam tu. Budak perasan lawa. Dah la… Yang penting, kita fokus pada peperiksaan. Aku tengok makan kau sekarang pun tak tentu. Kau sakit, aku jugak yang susah nanti..” sengihan Iman membuatkan hati aku terubat sedikit. Aku peluk Iman erat seperti mahu menghapuskan duka yang menanar di hati. Terima kasih temanku, kerana sentiasa bersamaku susah dan senang. Dan kisah pilu itu berlalu bersama hari walaupun masih ada dendam dan kecewa di hati sang gadis.

“Pah, tadi kat seksyen sains aku nampak jejaka pujaan kau…hihihi…” usikku pada Effa.
“Saper? Hadi? Amir? Fikri? Erm… saper lagi ek? Siapa?… ko ni…bagitau la siapa…” Tanya Effa.
“Si Fikri dengan Yusuf…” aku tersengeh melihat Effa begitu.
“Ala… tak boleh study la aku macam ni. Alahainya, handsomenya Fikri tu…” mulala Effa dengan perangai keanak-anakannya tu. Aku dan Iman hanya tersenyum. Faham benar perangai teman yang satu ini. Namun jauh di sudut hati, aku tahu Effa hanya main-main. Effa, sahabatku yang ceria. Sepanjang perkenalan, hanya sekali saja aku melihat dia menangis. Ketika ayahnya pergi selamanya. Tapi Effa yang aku kenali, gadis ceria, memilih meneruskan hidup dengan gembira dan tabah.

Peperiksaan akhir tahun sudah berakhir. Sebagai penolong ketua kelas, aku di amanahkan oleh Cikgu Rosnani untuk menghantar dan menandakan buku rekod kedatangan memandangkan sudah hampir cuti sekolah. Dan rutin harianku sepanjang seminggu sebelum cuti sekolah berakhir, bermula dengan mengambil buku di pejabat dan memulangkannya semula apabila selesai sessi persekolahan.

“Ika…” sayup suara seorang jejaka memanggilku.
“Erm… Awak panggil saya ke? “ soal ku pada jejaka itu.
“Yer, dah lama saya nak tegur awak… Hantar buku rekod jugak ke?” Tanyanya lagi.
“Aa.. Selalu ketua kelas saya yang hantar. Tapi minggu exam ni, Cikgu Nani minta saya yang buat, sebab Hairul kena buat kerja lain” balasku.
“Owh… awak satu kelas dengan Effa kan?” soalnya lagi.
“Yer… Haaa… ada apa-apa ke dengan Effa ni? Awak Fikri kan?” aku menyakat dia.
“Isk… Takde ape la, Effa tu satu kampung dengan saya la… Erm, Ika ni pandai jugak bersembang dengan orang yer. Ingatkan sombong. Takut jugak nak tegur…” dia tersenyum ke arahku.
“Ala awak ni. Kalau namanya kawan si Effa, takkan sombong punya la… Effa tu selalu sebut nama awak… erm.. awak, saya dah lewat ni. Lain kali la kita sembang lagi” aku mohon pulang.
“Owh.. okee… ermm…” bicara kami termati di situ.
“Fiq, cuti sekolah ni saya dengar awak dengan Yusuf kena berlatih untuk SUKMA? Buat yang terbaik yer…” aku terus berlalu dan hatiku tak sabar untuk bercerita dengan Effa tentang jejaka pujaannya.

Cuti sekolah telah bermula. Aku banyak meluangkan masa bersama keluargaku. Dan teman-teman akrabku banyak berhubung melalui telefon. Cuma sekali dua kami keluar bersama. Sebulan berlalu dengan pantas sekali. Berat rasa hati mahu masuk ke asrama semula. Wajah-wajah luka yang aku tinggalkan terbayang kembali. Ya Allah, kuatkan aku. Buangkan perasaan dendam dan benci ini. Namun begitu, kasih dan persahabatan membuatkan hati kecil ini, ceria kembali. Dan aku kembali meneruskan perjuanganku bersama teman-temanku.

“Ika, kenapa muka kau pucat sangat ni??” kerisauan jelas diwajahnya.
“Takda apa la… “ balasku. Memang sejak episod derita itu, aku sudah berubah. Aku menyiksa hati sendiri.
“Ika Ika… jangan kau ingat lagi perkara tu. Sekarang, kau kena kuat. Kena mulakan hidup baru…” pujuk Iman lagi.
“Aku tak apa-apa la… Aku oke, aku macam biasa ja” balasku cuba menyembunyikan perasaan.
“Kau jangan nak tipu aku, dari sekolah rendah aku kenal kau Ika. Kau tak pernah berubah. Janganla macam ni. Effa pun dah takda. Kau saja kawan aku. Aku tak nak kau macam ni.” Iman hampir menitiskan air mata.
“Iman… kau jangan risau. Aku benar-benar takda apa-apa” aku cuba meyakinkan Iman.
Dan layar persahabatan kami diteruskan walaupun tanpa Effa. Effa telah berpindah ke Sabah mengikut ibu dan abangnya ke sana. Hanya surat pengganti diri. Dua bulan pemergiaan Effa, aku dan Iman sepi tanpa gelak tawanya. Surat Effa saja yang menjadi ganti.

Terasa waktu begitu pantas berputar. Dua sahabat ini meneruskan perjuangan mereka. Pelbagai aktiviti di lakukan sepanjang mereka menjadi pelajar. Di asrama sudah pasti masa di isi dengan pelbagai aktiviti berfaedah. Dan musim sukan sekolah telah bermula. Walaupun Zulaikha dan Iman, tidak ditakdirkan dalam satu rumah sukan yang sama. Namun hari latihan untuk rumah sukan mereka adalah sama. Itulah takdirnya. Mereka umpama belangkas. Ke mana saja pasti bersama.

“Iman, awak wakil lompat jauh yer. Awak dan Nabila. Sebab markah kamu berdua melayakkan kamu menjadi wakil rumah Merak” terang Cikgu Nani.
Iman akur, lagipun tidak salah menjadi wakil untuk rumah sukan. Dan dari jauh Iman terpandang seseorang. Pandangannya tertumpu pada seseorang….

Bersambung….